Skip to main content

Perjalanan Balik Ke Kampung, Cun Tak?

 Hai, assalamualaikum semua.

Alhamdulillah, kita telah pun dapat menjalani bulan Ramadhan sehingga hari ini. Bagaimana diri kita sepanjang bulan puasa ini? Semoga segala perubahan dan peningkatan amal yang kita lakukan akan menjadi istiqamah. Fuhh, lama gila rasanya tidak update blog aku dan tidak draf sebarang cerita untuk dikongsi bersama. Hari ini baru rajin bukak laptop dan menggerakkan jari untuk menaip. Heehee. Mungkin pada entri kali ini, aku nak bercerita mengenai perjalanan aku pulang ke Johor untuk Hari Raya Aidilfitri.

Sumber : Google

Sebenarnya beberapa minggu yang lalu, pertimbangan aku untuk pulang ke kampung masih belum mendapat sebarang jawapan, akan tetapi disebabkan beberapa perkara, aku pun ambik keputusan untuk pulang. Makanya, aku cepat- cepat periksa tiket bas dalam Redbus dan terus beli. Disebabkan kali ini aku nak balik pada bulan puasa, maka aku memutuskan untuk mengambil bas pada waktu pagi supaya aku akan sampai ke Johor pada sekitar jam 1 atau 2 petang. Iyalah, musim- musim begini jika aku ambil tiket yang pulang pada waktu petang, aku akan sampai hampir maghrib dan semestinya pada waktu itu keadaan akan sesak dan berkemungkinan tiada pemandu Grab yang available untuk aku naik pulang ke rumah. Tiket bas aku adalah pada jam 8.30 pagi, maka aku bercadang untuk naik Grab dari rumah sewa pada pukul 7.40 pagi macam tu. Disebabkan demand yang tinggi, bayaran untuk Grab menjadi sehingga RM 29.00 yang mana pada waktu biasa, cas dikenakan biasanya diantara RM 13 – RM 17. Setelah beberapa kali proses booking driver Grab gagal, aku mula lah debar, cemas sebab jam sudah hampir jam 8.00 pagi. Di hadapan kawasan rumah sewa ada teksi tetapi itulah, aku pula yang tiada wang tunai untuk membayar. Pak cik teksi yang pada mula mahu menghantar terpaksa menolak kerana ketiadaan tunai di tangan, hampa.

 Kemudian, aku cuba untuk bertenang dengan situasi walaupun sudah melepasi jam 8.00 pagi. Aku membawa langkah ke bus stop di hadapan rumah dan malangnya aku separuh tergelincir akibat melalui jalan yang mempunyai selut (aku panggil lecak sebenarnya). Stokin dan selipar aku jadi kotor. Nasib baik aku bawa stokin lebih, maka aku terus tukar dan cuba menenangkan diri. Di bus stop itu aku cuba install aplikasi InDriver dan alhamdulillah aku dapat driver yang available dengan tawaran harga RM 20 untuk perjalanan ke terminal bas. Alhamdulillah, Allah Maha Mengaturkan segalanya dan aku sampai di terminal pada jam 8.29 pagi. Walaupun agak cemas dan bercampur perasaan yang ada, Alhamdulillah Allah menakdirkan bas juga sampai lewat di terminal tersebut. Perjalanan ke kampung berjalan seperti biasa dan aku sampai sebelum waktu Zohor. Walaupun berasa penat dan mengantuk kerana aku hanya tidur dua jam sebelum waktu sahur pagi  itu, tapi aku tidak dapat tidur malah aku aktif pula dengan menyapu ruangan kedai abah seperti orang yang punyai lebihan tenaga.

Banyak persiapan raya yang perlu dibuat kerana aku bukan sahaja kena amik tahu hal rumah aku sahaja tapi untuk rumah mak long sekali. Banyak rancangan yang hendak dilaksanakan dan sehingga hari ini ada beberapa hal penting yang tertangguh kerana beberapa kekangan. Jadi di rumah, aku buat perkara yang boleh dilakukan terlebih dahulu supaya tidak berlaku pembaziran masa dsbnya. Pada aku bukanlah perlu untuk mencantikkan rumah secara berlebihan tetapi cukuplah nampak kemas. Akhir kata, sebagai anak perempuan tunggal yang tinggal bersama orang lelaki, amatlah mencabar bagi memastikan mereka sentiasa berdisiplin dalam melakukan segala perkara dan mengekalkan suasana rumah yang telah dirapikan.

 Okaylah geng, sampai di sini sahaja aku coretkan kisah aku. Semoga aku akan ada masa untuk menulis dan meluahkan segalanya yang ada di sini. Bye, Selamat Hari Raya Aidilfitri 😉

Comments