Skip to main content

Kenangan Akan Sentiasa Ada

 Assalamualaikum semua.

Hari ni 3 Februari 2022, kali kedua aku balik dan pulang ke kampung. Tidak sangka menjadi sekerap ini, hmmm yelah selagi aku tidak dapat kerja full time. Sudah dua hari aku pulang ke sini dan semalam aku gerakkan adik- adik untuk mengemas satu bilik di rumah yang mana bilik tu menjadi bilik untuk menjemur pakaian dan bilik persalinan pakaian. Aku minta tolong dengan adik bongsu terlebih dahulu kerana adik pertama sibuk menguruskan hal rumah untuk memasak tengahari. 

Aku membentang satu tikar besar di ruang tamu dan mula memunggah plastik- plastik pakaian yang ada di dalam bilik tersebut. Rupa- rupanya bukan sahaja pakaian yang ada, buku- buku adik dari zaman sekolah, kotak- kotak daripada membeli televisyen, dan tv lama yang sudah rosak dan tidak boleh dipakai. Selesai memunggah plastik dan pakaian yang agak banyak, aku pun mula mengasingkan pakaian yang mahu dibuang, dicuci semula dan yang boleh dilipat terus. Dalam mengemas, tiba- tiba aku keluarkan baju dari satu beg yang mana di dalamnya terisi dengan baju arwah ibu. Secara automatik jadi sebak sebab kebanyakan baju itu adalah baju- baju yang aku pernah bagi ibu, dan ada satu jubah tu adalah jubah yang aku belikan untuk ibu untuk raya dan sudah rancang untuk nak ambil gambar sekeluarga tetapi tidak kesampaian. Sebelum ini aku ingatkan baju- baju arwah sudah habis dibuang dan diberikan kepada orang lain, rupa- rupanya masih ada. Alhamdulillah, dapat lah jugak ambil yang mana jumpa itu dan selebihnya aku minta mak cik aku berikan kepada orang lain.

Selesai bab pakaian, aku mula untuk mengemas buku- buku dan beg zaman sekolah adik. Kebanyakannya memang perlu dibuang kerana beg yang sudah buruk dan tidak sesuai jika diberikan kepada orang lain dan buku rujukan yang sudah berbeza dengan silibus pelajar sekarang. Terdapat beberapa beg sekolah yang mengimbau kenangan dimana adik- adik aku dulu selalu memakai beg yang pernah aku pakai. Haih, bila dah besar sekarang terasa simpati lah pulak dengan dia orang dulu. Zaman sekolah dahulu, aku tidak begitu meluangkan masa dengan adik- adik, jadi kurang komunikasi dan empati. Sebenarnya, apa sahaja terjadi dalam hidup ini ada lah beberapa kisah yang aku sendiri tak sanggup cerita dekat sini tapi cukuplah kalian tahu, hidup saya juga di uji dengan pelbagai perkara.

Rapuhnya hati aku ni hinggakan sewaktu aku menaip ini, aku mengalirkan air mata. Terkadang rasa tidak tertahan hatinya dengan ujian hidup ini tapi aku perlu sedar yang hidup ini memang untuk diuji. Semoga aku dapat pekerjaan yang dapat membantu aku menyenangkan keluarga aku dan membantu orang disekeliling aku.  Aamin. 

Okey, sampai di sini sahaja aku menaip. Lain kali aku sambung cerita lah ye. Bye.

 


Comments